Tuesday, March 11, 2008

DAP cadang dua Timbalan Menteri Besar

SHAH ALAM 10 Mac – Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Ronnie Liu Tian Khiew hari ini mencadangkan dua jawatan timbalan menteri besar yang mewakili kaum Cina dan India diwujudkan di negeri Selangor. Tian Khiew yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran pada pilihan raya umum memberitahu, beliau juga mencadangkan agar kedua-dua timbalan menteri besar itu dilantik sebagai exco agar mereka mempunyai gaji dan kuasa.
Selain itu, menurut Tian Khiew, beliau turut mencadangkan empat kerusi exco negeri dikhaskan untuk DAP. ‘‘Saya mencadangkan perkara ini kerana ia pernah dibincangkan di kalangan pemimpin DAP Pusat dan memang patut direalisasikan. ‘‘Saya rasa jawatan ini (timbalan menteri besar) mungkin akan diwujudkan di Pulau Pinang,” kata beliau ketika ketika ditemui di lobi bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini petang ini. Tambah Setiausaha Biro Antarabangsa DAP itu, perkara ini bagaimanapun belum disuarakan kepada bakal Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
‘‘Saya berharap agar perkara ini akan mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah,” ujarnya.

Ketika ditanya kehadirannya di bangunan SSAAS, Tian Khiew berkata, beliau datang ke bangunan itu selepas mendapat maklumat yang kakitangan bahagian kewangan negeri mahu memusnahkan beberapa dokumen penting. Katanya, kebetulan ketika kedatangannya, Khalid dan penyokong-penyokongnya berada di tingkat 19 menemui Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Ramli Mahmud. Menjawab persoalan sama ada beliau mahukan jawatan Timbalan Menteri Besar Selangor, Tian Khiew menjawab: ‘‘tidak penting siapa yang akan mengisi jawatan itu.’’

Sementara itu, di bangunan SSAAS, puluhan penyokong Khalid berada di lobi, tingkat 19 dan tingkat 12 bangunan untuk memantau apa yang berlaku di situ. Kekecohan kecil berlaku di tingkat 12 yang merupakan Pejabat Perbendaharaan Selangor apabila beberapa penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerbu dan menghalang beberapa kakitangan di tingkat tersebut daripada memusnahkan dan membuang sejumlah kertas dipercayai dokumen. Seorang kakitangan di tingkat tersebut yang tidak mahu dikenali berkata, apa yang dilakukan oleh kakitangan hanyalah prosedur biasa dan dokumen yang dimusnahkan itu adalah dokumen lama yang memang untuk dibuang.

No comments: