Tuesday, March 11, 2008

Iktiraf sumbangan BN Sabah dan Sarawak

KUALA LUMPUR 10 Mac – Barisan Nasional (BN) patut memberi pengiktirafan sewajarnya kepada sumbangan parti komponen di Sabah dan Sarawak yang memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 yang baru berlalu. Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST), Dr. Chandra Muzaffar berkata, beliau berharap lebih ramai wakil rakyat dari dua negeri itu dilantik menganggotai Kabinet Malaysia sebagai menghargai sumbangan mereka yang amat signifikan kali ini.

Katanya, kemenangan besar parti komponen BN Sabah dan Sarawak mengukuhkan majoriti gabungan itu, malah boleh dianggap sebagai penyelamat kepada BN dalam memastikan kedudukan untuk membentuk kerajaan. “Pelantikan lebih banyak wakil dari Sabah dan Sarawak dalam Kabinet akan menjadi langkah yang sangat penting kepada integrasi nasional,” katanya ketika membuat pembentangan pada Forum Institut Kajian Strategi dan Antarabangsa (ISIS) Mengenai Keputusan Pilihan Raya Umum 2008 : Kesan dan Implikasinya Ke Atas Malaysia di sini, hari ini.

Chandra turut tidak menafikan kemungkinan berlaku krisis dalaman BN khususnya UMNO sekiranya Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi gagal mengambil tindakan sebaik-baiknya untuk menangani kekalahan itu. Katanya, tempoh dua, tiga minggu atau beberapa bulan akan datang bakal menyaksikan kemungkinan itu menjadi satu kenyataan melainkan Abdullah bertindak bijak dan wajar.

“Dalam menghadapi keadaan ini, UMNO dan BN perlu berubah dengan melihat kepada tiga perkara iaitu personaliti dalam parti, polisi dan struktur mereka terhadap agama, ekonomi dan sosial. “Oleh itu, apa yang ditunggu-tunggu sekarang ialah keberanian politik UMNO dan BN untuk membuat perubahan tersebut,” katanya.

Pengasas Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharudin berkata, pilihan raya umum kali ini merupakan manifestasi pengundi yang tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan menangani isu-isu rakyat. Katanya, pelbagai siri insiden yang berlaku hampir serentak sepanjang tahun lalu memberi gambaran ketidakpuasan hati rakyat tetapi mesej tersebut tidak diendahkan oleh parti pemerintah menyebabkan rakyat ‘menghukum’ mereka melalui peti undi.

“Kita juga tidak boleh menolak faktor Datuk Seri Anwar Ibrahim (kepada kekalahan BN kali ini). Siapakah yang boleh mengatur demonstrasi Hindraf serentak dengan pertemuan pemimpin CHOGM di Kampala? Tentunya bukan saya,” katanya.
Timbalan Pengerusi Institut Analisis Strategik dan Kajian Polisi (INSAP) MCA, Rita Sim Sai Hoon berkata, realitinya sekarang ialah bagaimana parti pilihan pengundi Cina mendokong aspirasi tiga tonggak utama kaum tersebut iaitu sekolah, persatuan kaum dan perdagangan serta media berbahasa Cina.

Katanya, pengundi Cina menangguhkan kemarahan mereka pada pilihan raya umum 2004 dan memberi peluang kepada kepimpinan baru BN menunjukkan prestasi mereka menyebabkan kemenangan besar parti itu pada tahun tersebut. “Pada 2008, mereka masih tidak melihat sebarang perubahan kepada isu-isu yang ditimbulkan menyebabkan tsunami besar ini (menenggelam MCA dan tiga parti komponen lain)," katanya.

No comments: