PULAU PINANG 10 Mac – DAP menafikan pihaknya telah mencapai persetujuan untuk melantik Setiausaha Perhubungan Pas Perak, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, meskipun Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersetuju untuk menubuhkan kerajaan campuran di Perak, namun ketiga-tiga pihak masih belum memutuskan calon untuk memegang jawatan tersebut.
Jelasnya, walaupun Majlis Tertinggi DAP selesai bermesyuarat untuk membincangkan mengenai perkara tersebut di sini, malam semalam namun tiada sebarang keputusan rasmi dibuat mengenai siapa yang akan dipilih untuk menjadi Menteri Besar bagi menggantikan Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali. ‘‘Sama ada dia (Mohamad Nizar) atau tidak, itu kena tunggu. Belum pasti lagi. Bagaimanapun, DAP Perak memberitahu saya bahawa terdapat beberapa nama sudah dihantar kepada Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.
‘‘Apa yang diperkatakan itu (Menteri Besar), cuma mereka (Pas) yang umumkan. Semalam memang kita (DAP) telah bermesyuarat tapi parti masih belum mendapat sebarang kepastian lagi berhubung perkara tersebut, tunggulah,” katanya yang juga bakal Ketua Menteri Pulau Pinang. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kampung Tanjung Tokong di sini hari ini. Menurut Guan Eng, DAP akan mengadakan perbincangan dengan PKR terlebih dahulu dan membuat keputusan secara bersama termasuklah memilih calon yang sesuai untuk jawatan Menteri Besar Perak.
‘‘Kami (DAP) tidak akan membuat sebarang keputusan sendiri. Ia akan dilakukan secara bersama kerana ketiga-tiga parti telah bersetuju berkongsi kuasa mentadbir negeri Perak biarpun memperoleh 18 kerusi, DAP tidak mahu dikatakan hanya satu parti sahaja yang membuat keputusan.‘‘Saya ingin tegaskan sekali lagi, kita tunggu saja. Tunggu perkembangan terkini dari Ipoh, Perak, saya tidak mahu memperkatakan perkara yang sama dan berulang-ulang,” katanya.
Sebelum ini Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Pasir Panjang daripada Pas, Mohamad Nizar disebut-sebut akan dipilih menjadi Menteri Besar walaupun parti itu hanya memenangi enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding DAP yang memperoleh 18 kerusi. Perlembagaan negeri Perak memaktubkan hanya wakil rakyat Melayu boleh dilantik memegang jawatan paling tinggi dalam kerajaan negeri
No comments:
Post a Comment