Beliau memiliki saham dalam dua syarikat mengendalikan pembinaan pengangkutan di ibu negara ia itu KL Linear City bernilai RM10 bilion dan KL PRT Sdn Bhd. bernilai RM1,298 juta serta projek Sabah Shipyard Sdn. Bhd sebanyak RM21 juta. Nama Kamaruddin terkandung dalam senarai saham dan pemberian projek kerajaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini - satu tindakan yang bertujuan mendedahkan bagaimana Anwar membahagi-bahagikan kekayaan negara kepada rakan-rakannya.
Dalam senarai saham, bapa dan dua adik Anwar dicatatkan sebagai turut mendapat peruntukan saham bumiputera yang dikeluarkan oleh kerajaan. Bapanya, Datuk Ibrahim Abdul Rahman dan adik beradiknya, Farizan dan Marzukhi memegang saham berjumlah lebih 7.1 juta unit dalam tiga buah syarikat. Dr. Rahim Ghouse, seorang lagi penyokong kuat Anwar turut mendapat projek Express Rail Link bernilai RM2.4 bilion.
Penulis dan bekas pensyarah universiti, Rustam Sani, yang hebat mengecam kerajaan selepas Anwar dipecat daripada kerajaan sejak sembilan bulan lalu juga mendapat projek iaitu pembinaan Kompleks Jabatan Imigresen Shah Alam yang kini pada peringkat kelulusan prinsip.
Rustam, 55, adalah pemegang saham utama syarikat yang mendapat kontrak itu, Pasca Baru (M) Sdn. Bhd.
Beliau lantang membela Anwar dan mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, yang didakwanya mengamalkan kronisme dan nepotisme terutama dalam tulisan-tulisannya yang diterbitkan dalam akhbar Harakah dan penerbitan yang pro bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Salah satu dokumen yang dikeluarkan dalam senarai itu bertajuk Pemberian Projek Penswastaan Kepada Penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim Melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU) (Perjanjian Telah Ditandatangani).
Projek pembangunan kerajaan yang diluluskan kepada kroni Anwar adalah pelbagai daripada penswastaan pembetungan najis, penswastaan perkhidmatan ambulans hinggalah kepada pembangunan hartanah di kawasan Brickfields di Kuala lumpur. Kementerian Kewangan mengeluarkan lapan dokumen pada Perhimpunan Agung UMNO, dan daripada senarai itu terdapat dua senarai yang mengandungi maklumat berhubung 27 buah projek yang diberikan kepada penyokong-penyokong Anwar.
Hanya 14 daripada 27 projek itu dicatatkan kosnya. Nilai terkumpul 14 projek itu ialah RM33.92 bilion. Dijangkakan, jika kos projek-projek lain diperoleh, nilai keseluruhan akan jauh lebih tinggi.
Selain Kamaruddinnama -nama lain yang mendapat faedah ialah Datuk Dr. Wan Hasni Wan Sulaiman, Datuk Anuar Othman, Datuk Ahmad Fuad Ali, Mohd. Nor Mutalib, Datuk Ahmad Nazri Abdullah, Datuk Khalid Ahmad, Bahrim Ayob dan Datuk Ghazi Ramli.
Dalam satu senarai berasingan, nama bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, juga dicatatkan sebagai menerima kelulusan prinsip projek Pembangunan Semula Kampung Haji Abdullah Hukum di Kuala Lumpur. Selain beliau, nama penyokong Anwar lain juga disebut dan mereka kebanyakan adalah bekas para pemimpin ABIM dan pemimpin UMNO yang rapat dengan Anwar. Mereka ialah Datuk Ahmad Ismail, Datuk Iqbal Mohd., Kuppa Pitchai Rawther, Datuk Nasruddin Jalil dan Datuk Ahmad Saad. Tindakan menyenaraikan nama individu dan syarikat bumiputera yang mendapat saham dan projek itu adalah langkah kali kedua selepas Dr. Mahathir mengejutkan ahli-ahli UMNO dengan senarai yang sama pada Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu.
Senarai tersebut dikeluarkan oleh kerajaan bagi menangkis dakwaan Anwar yang menuduh kerajaan mengamalkan kronisme, nepotisme dan rasuah. Ia dipamerkan untuk diteliti oleh para perwakilan dan ahli-ahli UMNO yang menghadiri perhimpunan agung parti itu di sini. Kamaruddin, Ketua UMNO bahagian Tumpat, juga tersenarai sebagai pemegang saham utama dalam dua syarikat iaitu Westmont Land (Asia) Berhad dengan saham sebanyak 4,700,592 pada 13 Februari 1996 dan Malaysian Mosaics Berhad (sebanyak 7.5 juta).
Ketua UMNO bahagian Pasir Puteh, Kamaruddin Mohd. Nor, yang juga bekas Setiausaha Agung ABIM pula memegang saham sebanyak 250,000 unit dalam syarikat Eastern dan Oriental. Bapa Anwar Datuk Ibrahim Abdul Rahman dan adik beradiknya, Farizon dan Marzukhi yang memegang saham berjumlah lebih 7.1 juta unit dalam tiga buah syarikat.
Syarikat itu ialah Pengkalen Holdings Berhad (Ibrahim dan Farizon) masing-masing 250,000 saham pada 2 Mei 1998; Nissan Industrial Oxygen Incorporated (Ibrahim) sebanyak 3,790.500 dan Penas Corporation (Marzukhi) sebanyak 2,800,000. Bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, memiliki sebanyak 6,751,493 saham dalam syarikat Tekala Corporation (TCB). Menerusi syarikat Pantai Dalam Sdn. Bhd., beliau juga telah mendapat kelulusan prinsip untuk projek pembangunan semula Kampung Haji Abdullah Hukum.
Senarai-senarai pemberian saham dan projek itu dipamerkan di tingkat empat, bertentangan dengan pintu masuk utama ke Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini. Senarai pertama melibatkan pemberian 18 projek penswastaan menerusi Unit Perancangan Ekonomi (EPU) yang perjanjiannya telah ditandatangani sehingga 15 Jun lalu. Para penyokong Anwar yang paling kerap tertera daripada 18 projek itu ialah Mohd Nor Mutalib, Datuk Ahmad Nadzri Abdullah dan Datuk Khalid Ahmad yang memiliki saham utama dalam sembilan projek.
Projek-projek itu ialah projek Kuala Lumpur Central menerusi syarikat Freeway Properties dan bernilai RM713 juta; Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3); perkhidmatan telekomunikasi Satelite Network; projek Lebuh Raya Ipoh-Lumut bernilai RM1,000 juta dan projek perkhidmatan sokongan hospital Redicare Sdn. Bhd bersama Azmi Jaafar.
1 comment:
itulah caranya maharaja atau seorang bakal presiden membina dinasti atau empayar...tapi allah maha kuasa dek....dia boleh merancang tapi allah yang tentukan. kalau allah bagi maka itulah nasib kita...mungkin allah nak suruh kita jadi plestin ke 2
Post a Comment