Thursday, September 18, 2008

PERLUKAH PEMIMPIN OPORTUNIS UNTUK NEGARA?

PERLUKAH PEMIMPIN OPORTUNIS UNTUK NEGARA?

Rakyat jelas mengetahui bahawa sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan pada hari ini ialah bagi menggembeling tenaga menuju wawasan 2020. Wawasan yang dirangka sedemikian rupa merupakan hasil ilham, rentetan agenda dan kesinambungan usaha pemimpin-pemimpin terdahulu yang berkredibiliti semata-mata untuk menjaga keharmonian serta kesejahteraan rakyat secara asasnya kekal terpelihara. Pemimpin kerajaan hari ini menyedari hakikat kepentingan hidup secara makmur dan mengamalkan prinsip-prinsip penerapan rukun negara atas sebab wajah kepelbagaian bangsa, agama dan keturunan yang ada di negara Malaysia yang bertuah ini. Secara dasarnya apabila konsep perpaduan ini dihayati secara konsisten oleh seluruh lapisan masyarakat, maka mudahlah bagi kita bergerak dalam susunan langkah teratur serta kemas menggapai hasrat gagasan wawasan 2020 yang menjadi impian bersama sejak penubuhannya.

Konsep bersatu padu, masyarakat yang punyai jati diri Malaysia, penerapan prinsip demokrasi matang, kukuh moralnya, bersikap toleran, berdaya cipta, masyarakat berbudi dan penyayang, keadilan ekonomi antara kaum dan membentuk masyarakat makmur merupakan antara sembilan cabaran wawasan 2020 yang menjadi hala tuju kita pada hari ini. Di permulaan usaha murni tersebut jelas terlihat objektif pemimpin negara membawa rakyatnya dalam “track” yang betul untuk diikuti sehinggalah negara dikejutkan oleh krisis mata wang 1997 akibat agenda “penyangak antarabangsa” serta dikatakan wujudnya kebangkitan gelombang pemimpin yang hendak sangat berkuasa hingga sanggup membuka lorong di belakang “track” yang sudah dibina.

Namun kita bersyukur negara tetap dilindungi Allah s.w.t kerana krisis ini mampu diatasi dan rakyat kembali bersatu pada agenda perjuangan yang sebenar iaitu mewujudkan masyarakat aman sentosa dalam kehidupan yang damai menelusuri prinsip mengejar wawasan 2020. Pada tempoh selepas pilihanraya ke-10 tahun 1999 banyak kejayaan yang telah dicapai dan membuktikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berdaya saing serta rakyatnya hebat di persada antarabangsa. Tidak kira bidang ekonomi, sukan, pelancongan, infrastruktur dan sebagainya ada sahaja kejayaan yang dicipta oleh rakyat dan negara berlandaskan penerapan nilai patriotisme yang tinggi serta mengkagumkan tanpa adanya gangguan mana-mana pihak yang suka mengambil kesempatan.

Hasil permuafakatan dan kerjasama persaudaraan antara kaum ini, kerajaan memperolehi mandat yang cukup besar pada pilihan raya ke-11 tahun 2004 sehingga hampir memusnah dan membinasakan parti pembangkang di parlimen. Tetapi walaupun begitu, tidak ada pula kata nista dan perkataan-perkataan buruk kedengaran sampai ke telinga rakyat jelata dilempar kepada pihak parti pembangkang akibat kekalahan teruk mereka dalam pilihanraya tersebut. Begitu tingginya nilai budi dan kasih sayang pemimpin yang ada menepati pengisian cabaran ke-7 wawasan 2020 yang telah digariskan.

Namun malangnya, kebaikan yang diberi oleh pihak kerajaan menjadi suatu peluang oleh pemimpin yang berkeinginan besar untuk menerajui negara walaupun sikap cinta akan negara dipertikai akibat kecenderungan memburuk-burukkan nama negara melalui tanah luar asing. Sikap mengadu domba, memperlekeh dan memperkecilkan kemampuan kerajaan yang pernah berjasa terhadap penasihat pemimpin pembangkang yang pernah susah ini jelas menunjukkan mereka tidak punya harga diri dan tidak berkeinginan untuk mendepani cabaran ke-2 wawasan negara sebagai warga yang kukuh jati diri Malaysianya. Hanya tidak lain umpama sikap atau perbuatan pelajar yang tidak tamat pengajian wataknya.

Semua ini akibat kemenangan yang dianggap “nasib baik” oleh mereka dalam pilihan raya ke-12 kerana faktor negara dilanda krisis ekonomi akibat fenomena global khususnya pasaran harga minyak dunia yang melambung menyebabkan kesan langsung terhadap negara. Oleh sebab itu, perbuatan menghina, pengenalan istilah-istilah buruk terhadap pemimpin negara menyebabkan pelabur luar tidak yakin untuk melabur di dalam negara kita. Berdasarkan ceramah-ceramah dan rapat umum tanpa henti-henti sejak pilihan raya 8 Mac 2008 hingga kini, seolah-oleh penasihat (Barisan Alternatif) mengangkat dan membawa dirinya seperti penyelamat Malaysia yang paling unggul sedangkan sewaktu negara tanpa dirinya pun rakyat hidup penuh kesejahteraan. Berbanding sewaktu beliau pernah memegang jawatan di dalam kabinet sebelum dipecat atas perbuatannya sendiri.

Sikap penasihat parti gabungan Barisan Alternatif ini sepatutnya sedar bahawa mereka tidak layak menggunakkan istilah Pakatan Rakyat kerana matlamat percantuman mereka lebih cenderung kepada memenuhi hajat seseorang individu untuk berkuasa. Memang tidak boleh dinafikan bahawa penasihat Barisan Alternatif ini amat petah berpidato dan berkata-kata. Namun apakah cukup, bijak berkata-kata sudah mampu menukarkan kerajaan bagi menjaga keseluruhan rakyat Malaysia? Adakah konsep keadilan yang diperjuang benar-benar adil untuk semua atau skop keadilan itu hanya berlegar terhadap pemberian kontrak kepada bapa, abang, adik, adik angkat dan rakan-rakan sahaja? Jika tidak mampu ke arah keadilan yang sebenar adalah baik menghentikan perbuatan yang telah merugikan negara apatah lagi masa hadapan anak-anak muda yang perlu pembelaan bukan dipergunakan.

Sesungguhnya rakyat sudah tahu membezakan antara yang benar dan yang palsu. Antara janji manis dan pembangunan sebenar. Rakyat sebenarnya sudah bosan akibat khayal dan terbang di alam fantasi awang-awangan indah yang sekadar memperolehi janji-janji kosong. Sebagai contoh sikap gembar-gembur akan menukar kerajaan pada 16 September kerana dikatakan ada Ahli Parlimen BN dipujuk untuk melompat parti. Walhal tidak ada sesiapapun yang berkeinginan walaupun dilaporkan ada usaha menawarkan kemewahan lumayan yang besar untuk Ahli Parlimen khususnya dari Sabah dan Sarawak. Akhirnya ini membuktikan fakta pembohongan dan menunjukkan kemaluan yang besar diterima oleh mereka kerana cakap tidak serupa bikin walaupun sebelum ini mata menyala-nyala yakin dan cuba meyakinkan bahawa pertukaran kerajaan akan benar-benar berlaku pada 16 September 2008.

Secara logiknya tindakan merampas kuasa secara lompat parti sebegini sungguhlah tidak demokratik dan ini membuktikan Barisan Alternatif sanggup melakukan apa sahaja hatta memberi rasuah demi keuntungan mereka. Bagi manusia yang normal dan berfikiran waras jika ini kaedah ingin berkuasa, bagaimana mereka hendak menegakkan amanah dan integriti sekiranya sebelum berkuasa mutlak lagi telah memberi gambaran kecenderungan salah guna kuasa dan amalan rasuah politik? Perbuatan sebegini sungguh memalukan kerana melanggar prinsip cabaran ke-3 wawasan 2020.

Lebih menyakitkan hati rakyat Sabah dan Sarawak apabila dikaitkan dengan usaha yang begitu mudah dipancing wakil rakyat mereka, seolah-olah rakyat Sabah ini rendah akhlaknya, tidak berharga diri, boleh diperbodoh-bodohkan dan diibaratkan katak yang tidak berpendirian juga boleh dijual beli serta diperdagangkan. Maka ini sebenarnya mesej halus dan simbolik penghinaan oleh pemimpin atasan Barisan Alternatif bernama Anwar Ibrahim di sebalik senyuman sinis manusia yang hipokrasi serta tidak mendatangkan apa-apa kebaikan atau sumbangan terhadap negarapun melainkan kebolehannya memecah belah rakyat Malaysia khususnya antara rakyat Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Adakah kita benar-benar yakin dengan wakil Barisan Alternatif yang ada antaranya bersikap biadab dan mencarut di parlimen, menyerang speaker dewan, malas turun padang dan tidak fasih berbahasa kebangsaan sewaktu perbahasan, wakil rakyat hingusan dan saling bertumbukan dan bertamparan antara sesama mereka? Adakah ini wakil pembela bangsa dan negara? Tepuk dada tanyalah hati minda. Tidak guna kita menerima janji-janji sedap sebagai halwa telinga tetapi tidak bermakna apa-apa.

Mahukah kita menggantikan kerajaan yang terlalu banyak berjasa terhadap rakyat hingga landskap Malaysia terbina sedemikian rupa? Perlukah diroboh dan dilelong mercu tanda negara KLCC, KLIA, Putrajaya, dan lain-lain yang merupakan lambang kejayaan setelah terjajah ratusan tahun lamanya? Maka jawapan ada di dalam minda kita sebagai rakyat jelata untuk menilai yang baik dan yang palsu. Kita sepatutnya menjadikan pengajaran kegagalan usaha mereka merampas kuasa pada 16 September sebagai suatu ikhtibar bahawa pembohongan boleh dicipta pada bila-bila masa sahaja.

Sesungguhnya cita-cita dan perjuangan palsu pimpinan “angkat bakul sendiri” seperti penasihat parti alternatif amatlah tidak bersesuaian sebagai pewaris kesinambungan hasil kejayaan negara pada hari ini. Bagaimana perlu memilih pemimpin sebegini sekiranya tidak menetapi ciri-ciri sebenar pemimpin berbilang bangsa di Malaysia, lebih-lebih lagi kegagalan memenuhi tuntutan untuk mendepani cabaran wawasan 2020 negara. Sebagai rakyat terbanyak inilah masanya untuk kita membuktikan bahawa pemimpin negara yang rakyat kehendaki sebenar-benarnya ialah mereka yang meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan diri sendiri. Apatah lagi sekiranya mereka yang terdesak untuk merampas kuasa mempunyai kaitan atau amat mudah menjadi alat mengikut “jari telunjuk” pemimpin barat yang pro keganasan dunia sepatutnya tidak ada tempat langsung di hati sanubari rakyat yang bebas, aman merdeka.

Sebagai suara generasi muda diharap kita mampu mempertahankan negara kita daripada berita palsu, penipuan, pembohongan dan tipu daya daripada mana-mana individu yang muncul secara tiba-tiba kononnya diutus sebagai pembela masa hadapan ke arah Malaysia Baru. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti cerita kebolehan Ayah Pin membawa pengikut setianya ke arah kecelaruan minda yang sesat. Apa yang kita mahu ialah pemimpin dan kerajaan yang kukuh serta bertanggungjawab mampu mengatasi cabaran fenomena dunia yang menghimpit tanpa adanya usaha anasir songsang yang sering memesongkan pemikiran rakyat daripada menumpukan usaha ke arah kesejahteraan kita hidup memegang konsep perpaduan sebagai teras kejayaan pada hari ini menuju wawasan 2020.

No comments: