Sunday, May 4, 2008

Melayu perlu bangkit

MUKADDIMAH Hari ini berakhirlah Kongres Permuafakatan Melayu yang diadakan sejak Jumaat lalu. Kongres hasil inisiatif Gabungan Penulis-Penulis Nasional (Gapena) dan Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) ini disertai oleh 180 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu diharapkan mampu mencetuskan kesedaran kepada orang Melayu mengenai hak-hak mereka dan kedudukan bangsa itu selepas pilihan raya umum lalu. Apa pun dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN dan ZULKIFLEE BAKAR, Penyandang Kursi Tun Ghafar Baba di Universiti Perguruan Sultan Idris, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling menjelaskan mengenai bahaya yang sedang menanti orang Melayu jika mereka menganggap perkembangan politik terkini tidak ada apa-apa kesan kepada mereka. Dengan berlatarbelakangkan lukisan suasana Langkasuka, Kedah pada abad pertama tahun masihi, Dr. Zainal melontar satu demi satu pandangan mengenai kesan politik kepada orang Melayu dan berkali-kali menegaskan bahawa orang Melayu tidak harus mengamalkan politik ‘dikir barat’ dan ‘boria.’

Sementara itu Ketua Umum BBPM, Osman Abu Bakar pula mengakui banyak resolusi yang dicapai dalam perhimpunan menggerakkan agenda Melayu sebelum ini tidak ke mana sehingga menimbulkan rasa tidak percaya orang Melayu terhadap usaha mengangkat agenda bangsa dan ia diluahkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini. Dalam wawancara dengan wartawan Mingguan Malaysia, NORAINI ABD. RAZAK di Johor Bahru semalam beliau tidak menafikan kegagalan parti-parti politik Melayu memperjuangkan agenda Melayu. Kerana itu beliau menegaskan bahawa setiap resolusi bukan sahaja akan diserahkan kepada pihak-pihak yang terlibat malah pemantauan akan dilakukan supaya jika ada pengabaian maka akan ada teguran.

Mingguan: Apa matlamat sebenar Kongres Permuafakatan Melayu ini diadakan?

DR. ZAINAL: Ia sebagai reaksi kita kepada perkembangan politik negara yang memunculkan satu suasana yang mencabar kedudukan bangsa Melayu dalam negara sendiri. Selain itu kita melihat kongres tersebut perlu diadakan bagi melibatkan secara langsung bangsa Melayu melalui badan-badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dalam penentuan keputusan-keputusan oleh kerajaan. Kita selama ini bergantung kepada kerajaan untuk memenuhi keperluan dan hasrat kita, jadi kita tidak menyuarakan secara langsung melalui NGO. Bagaimanapun ternyata akhir-akhir ini parti-parti politik Melayu tidak begitu memperjuangkan hak orang Melayu, misalnya hak bahasa, kebudayaan dan ekonomi.

Oleh itu masanya sudah sampai kita melibatkan semua bangsa Melayu termasuk NGO Melayu untuk memahami persoalan-persoalan ini dan sekali gus terlibat sebagai pendesak. Ini bagi membolehkan mereka melindungi hak Melayu yang sahih dalam undang-undang, orang bercakap mengenai hak yang sah bagi bukan Melayu. Barangkali kita sebagai NGO harus memahami bahawa kita bukan sahaja mempunyai hak yang sah tetapi juga hak asasi Melayu yang dilindungi oleh undang-undang. Semua ini kita pandang dengan cara yang amat kritis supaya bangsa Melayu itu bangkit mempertahankannya melalui NGO. Ini kita namakan kuasa yang ketiga. Ia gerakan masyarakat bertujuan bukan sahaja untuk memastikan hak dia terlindung tetapi juga keinginannya tercapai. Walaupun parti politik mengatakan mereka mempunyai mandat melalui pilihan raya, tetapi tidak semua tafsiran mereka betul.

Bagaimana NGO Melayu hendak melakukannya, kerana orang berpendapat tanpa sokongan politik, usaha untuk memperjuangkan hak Melayu tidak akan ke mana?

DR. ZAINAL: Inilah sebabnya NGO itu mesti berpolitik. Kita mesti menggunakan permainan kuasa sebagai pelobi atau pendesak, walaupun ia bukan kuasa eksekutif. Contohnya seperti orang Cina mereka tidak menjadi kuasa eksekutif tetapi mereka menjadi pendesak. Justeru kita harus memainkan kuasa itu bagi memastikan hak Melayu terlindung. Sudah sampai masanya orang Melayu sendiri secara bermasyarakat bermain dan terlibat dalam kuasa itu.
Apakah orang Melayu ini sudah terlalu teruk sehingga terpaksa mengadakan kongres bagi mempertahankan hak mereka?

DR. ZAINAL: Tidak begitu, tetapi ada potensi keadaan Melayu akan tergugat oleh kerana desakan yang amat kuat oleh orang-orang yang ingin persamaan hak atau lebih daripada itu.
Misalnya, bagaimanakah orang Melayu mengendalikan masalah orang membina ladang babi seluas 400 ekar di tengah kampung Melayu, bagaimana kita hendak buat jika kerajaan tidak peduli? Jadi terpaksa bermain kuasa pendesak itu untuk membangkitkannya supaya ia tidak berlaku di kampung kita. Selain itu kita harus menggabungkan seluruh tenaga dan kuasa kita bagi menghalangnya.
Jadi kalau kerajaan membenarkannya kita terpaksa mengancam kerajaan. Kita tidak kata Melayu berada dalam keadaan yang terlalu buruk tetapi ada potensi kerana keadaan politik sudah terbalik. Ini jelas apabila di sesetengah negeri dahulu orang Melayu yang berkuasa seluruhnya manakala komuniti Cina dan India sebagai pelengkap dalam perkongsian kuasa. Tetapi sekarang orang Cina yang lebih berkuasa manakala orang Melayu hanya menjadi pelengkap. Walaupun mereka menjadi Menteri Besar (MB), mereka tidak mempunyai suara eksekutif yang kuat dalam barisan exco. Jika ini dibiarkan, ia boleh berlaku di seluruh negara dan lebih buruk lagi bila ada pemimpin-pemimpin Melayu yang melayari gelombang ini demi kepentingan diri.

Bagaimana dengan kesedaran orang Melayu mengenai hak-hak mereka yang perlu dipertahankan?

DR. ZAINAL: Kesedaran itu ada tetapi kebanyakan mereka tidak pasti apa bendanya. Di mana terletaknya dalam perundangan dan mengenai perkara apa. Orang tidak faham sebab kita tidak membaca peruntukan-peruntukan dalam perlembagaan. Justeru, kalau boleh dengan kehadiran 180 NGO Melayu dalam kongres ini, mereka akan memahami satu persatu peruntukan tersebut.
Ada sesetengah pemimpin politik beranggapan peduli apa dengan ketuanan Melayu kerana sekarang ini Perdana Menteri adalah Melayu begitu juga Menteri Besar majoritinya adalah Melayu?


DR. ZAINAL: Inilah masalahnya, kita bertindak dalam budaya politik yang kita anggap sebagai dikir barat dan boria. Budaya kita ialah menyerahkan kepada satu manusia untuk memimpin, kalau dia lemah maka seluruhnya runtuh. Sebab itulah orang Melayu sebut “Si luncai terjun dengan labu-labunya, biar pi.” Kita tidak boleh membiarkan seorang pemimpin tertinggi Melayu itu seorang diri membuat keputusan. Dia seharusnya hanya menjadi pemimpin hadapan sedangkan di belakangnya mempunyai pelbagai idea dan sokongan yang kuat dan dia mesti memahami sepenuhnya apa yang hendak dicapai. Kalau kita membenarkan dan terlalu yakin dengannya kita akan hanyut. Ini sudah banyak kali berlaku.

Adakah Datuk yakin orang Melayu mempunyai potensi untuk bersatu, biarpun dipisahkan oleh perbezaan politik?

DR. ZAINAL: Potensi itu tetap ada selagi orang Melayu itu Islam dan memahami kedudukan Melayu dan Islamnya serta memahami bagaimana perpecahan itu boleh menjatuhkan mereka. Kita boleh bergabung dan membangun semula.

Betulkah ini akan menjadi sandaran sedangkan dalam pilihan raya umum lalu menunjukkan ada parti politik Melayu yang bersedia bekerjasama dengan parti yang dilihat tidak gemar dengan perjuangan hak Melayu ini?

DR. ZAINAL: Inilah masalah terbesar orang Melayu, kita selalu melihat apabila ada sahaja orang Melayu kita akan merasa terselamat. Oleh kerana itu, orang boleh bercakap masih ada Melayu apa peduli dan sebagainya tetapi kita terpaksa peduli kerana pengalaman-pengalaman di tempat lain yang asalnya negeri Melayu akhirnya Melayu diketepikan, contohnya Pulau Pinang. Jadi anak-anak muda kita yang ghairah untuk mengubah keadaan mesti faham apa yang mereka hendak ubah.


Kita harus faham orang memang hendak mengubah keadaan selama-lamanya, DAP contohnya selama-lamanya ingin mewujudkan Malaysian Malaysia menurut tarif dia bukan ikut tarif perlembagaan. Mereka mencari kesaksamaan. Tetapi perlembagaan memberi hak keistimewaan kepada bumiputera dan Melayu sambil mengimbangi hak itu dengan orang lain. Islam agama persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni serta damai. Kenapa mesti sebut aman dan damai? Ini kerana orang dahulu yang menggubal perlembagaan melihat ada potensi untuk pergolakan agama.

Bagaimana dengan pandangan bahawa perpaduan Melayu bergantung kepada penyatuan antara UMNO dan Pas? Adakah potensi kedua-dua parti Melayu ini bersatu?


DR. ZAINAL: Itu ada kemungkinan. Itu harus berlaku sebab ideologinya sama. Tetapi kerana permainan politik individu dan pemimpin maka orang Melayu dalam kedua-dua parti ini seolah-olah berkerat rotan dan berpatah arang. Kalau parti Islam itu sendiri hendak mengamalkan prinsip Islam sebenar-benarnya, bukan sekadar bermain politik semata-mata, mereka harus bekerja ke arah penyatuan itu.

Sekarang ini kaum lain selalu menggunakan istilah perkauman apabila kita bercakap tentang Melayu. Bagaimana kita hendak mengatasi masalah ini?


DR. ZAINAL: Apabila kita bercakap tentang Melayu, kita dituduh perkauman. Tetapi itulah hak kita, hak asasi Melayu di negeri Melayu mesti mempertahankan Melayu. Negara ini terbentuk di atas landasan kebumiputeraan dan kedaulatan kerajaan Melayu sebagai kerangka hidup. Jadi kalau kita mempertahankannya, itu adalah hak nasional Melayu dan seluruh rakyat Malaysia. Kalau itu runtuh maka segalanya runtuh. Tetapi apabila kita tidak menjawab segala tuduhan-tuduhan itu seolah-olah memang benar kita yang menindas orang. Orang lain yang menjadi warga kelas pertama di Malaysia tetapi Melayu yang jadi warga kelas tiga. Walaupun ada kuasa politik kononnya dalam perlembagaan, tetapi orang Melayu tidak pernah menjawab tuduhan perkauman itu. Orang Melayu tidak berani hendak menuduh balik. Jadi orang Melayu dituduh sebagai perkauman. Tetapi sebenarnya yang paling perkauman adalah orang luar yang hendak mempertahankan kedudukan mereka.


Tetapi Prof. orang Melayu banyak sangat bertolak ansur?


DR. ZAINAL: Orang Melayu paling bertamadun di dunia, paling berbudi bahasa. Kita menerima orang dan kita bagi betis kita tetapi dia hendak paha, itulah masalahnya. Orang tidak menghargai kebaikan budi bahasa orang Melayu. Sebabnya mereka adalah orang luar yang terpaksa mendesak hendak hak yang sama, maka mereka lupa tentang baik budi orang Melayu. Mereka tidak merasa kebudian orang Melayu. Kerana itu apabila orang tidak menghargai budi orang Melayu, maka orang Melayu kena bertindak balik. Dalam pilihan raya baru-baru ini, jelas isu perkauman dimainkan oleh sesetengah pihak apabila menyatakan undi MCA atau MIC itu bermakna mengundi UMNO.


Kenyataan ini jelas menunjukkan, kelompok berkenaan anti-Melayu. Tetapi malangnya kita tidak pernah menyanggah atau membalasnya. Seharusnya kempen seperti itu kita kenakan Akta Hasutan sebab menghasut membenci kaum.

Satu masalah dalam pilihan raya baru-baru ini ialah generasi muda Melayu tidak peduli tentang ketuanan Melayu. Bagaimana NGO Melayu boleh bertindak?

DR. ZAINAL: Anak-anak muda Melayu ini digembleng oleh kepentingan parti-parti politik terhadap ketidakpuasan hati anak-anak Melayu dan juga orang lain. Orang Cina tidak berpuas hati walaupun paling kaya di Malaysia, orang India juga tidak berpuas hati. Ada tuduhan negara ini banyak rasuah, orang Melayu yang mengada-ada, di tengah-tengah kawasan orang miskin bina istana. Memanglah perkara ini betul dan reaksi anak-anak Melayu juga betul. Sebab mereka telah dididik dalam keadaan dan suasana yang demokratik, boleh bersuara dan mencari persamaan setiap individu. Kita hendak mengingatkan pemimpin-pemimpin Melayu bahawa mereka tidak boleh menganggap perjuangan mereka selama ini dalam politik mesti dibalas seperti mendapat tanah dan sebagainya.


Sebenarnya keadaan sudah berubah apabila saban tahun 50,000 siswazah dilahirkan oleh institusi pengajian tinggi. Mereka sudah faham segala proses ini. Maka apabila kita masih lagi memikirkan orang terhutang budi kepada kita padahal itu adalah tugas kita, orang akan membalas balik dalam pilihan raya kerana anak-anak muda sudah terdidik. Bagaimanapun menjadi tugas kita untuk mengingatkan bahawa dalam keadaan tertentu kita tidak boleh terlampau untuk memutar balik keadaan politik hari ini. Tujuan kita ialah untuk mengingatkan bahawa dasar yang dilakukan oleh pemerintah Melayu demi keuntungan kita.

Adakah pilihan raya yang lalu menjadi satu momentum untuk membangkitkan kesedaran kalangan orang Melayu?

DR. ZAINAL: Iktibar yang paling besar ialah Melayu boleh dipecahkan dan boleh menjadi pembangkang, bukan kerajaan. Kerajaan Melayu boleh diruntuhkan. Orang Melayu boleh dipecahkan dalam beberapa kelompok dan ini yang sedang berlaku walaupun kita mendapat majoriti. Walaupun UMNO masih menang tetapi sokongan kepada kerajaan yang berlandaskan UMNO berkurangan. Apabila dipecah-pecah, Melayu tidak memerintah dan hilang kuasa. Kita mesti menghindarkan keadaan ini.

Apa bahaya yang sedang menanti orang Melayu kalau beginilah sikap orang Melayu?

DR.ZAINAL: Bahayanya ialah kita akan kehilangan perlindungan yang terdapat dalam perundangan. Apabila Melayu boleh dipecahkan, tidak lagi memerintah dan perpecahan Melayu itu digunakan oleh parti lain untuk mendapat majoriti dua pertiga, itu membolehkan orang meminda dan merubah perlembagaan dan undang-undang. Orang akan menggunakan perundangan-perundangan itu untuk memerintah dengan cara atau dasar apa sahaja. Yang membangunkan kita selama ini ialah dasar negara dan dasar awam. Dasar ekonomi dengan DEB, dasar pendidikan dan dasar kebudayaan. Semua ini sempat membangunkan bahasa Melayu dan kebudayaan Melayu menjadi kebudayaan nasional.

No comments: