Sunday, May 4, 2008

Badan Pendesak Melayu Perlu

Pertubuhan bukan politik wajar ditubuh untuk pertahan hak, aspirasi perjuangan bangsa

JOHOR BAHRU: Kumpulan dan badan pendesak Melayu yang tidak berpaksikan politik sewajarnya ditubuhkan dalam suasana politik negara masa kini bagi terus memastikan hak dan aspirasi orang Melayu terus dipertahan dan diperjuangkan. Veteran Umno, Tan Sri Aziz Tapa, berkata sememangnya, penubuhan badan berkenaan bukan membawa maksud bahawa Umno tidak lagi relevan untuk berjuang untuk orang Melayu.

"Ini adalah suara akar umbi yang terdiri daripada golongan ilmuwan, cendekiawan dan budayawan selepas melihat apa yang terjadi selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu. "Umno perlu akui bahawa perjuangannya pada masa dulu berbeza daripada sekarang, mungkin dengan ada badan ini, kita boleh bersama-sama memastikan bahawa hak orang Melayu terus dipelihara," katanya di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada hari kedua Kongres Permuafakatan Melayu di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) Johor.

Kelmarin, Ketua I Gabungan Penulis Nasional (Gapena) Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein mengesyorkan satu badan bukan kerajaan khusus untuk perjuangan orang Melayu ditubuhkan bagi memastikan kepentingan dan hak masyarakat berkenaan terus dipelihara. Sementara itu, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Datuk Seri Mohd Yussof Latiff, berkata masalah politik negara sepatutnya diselesaikan dalam parti politik Melayu sedia ada. Bagaimanapun, katanya, hak dan kepentingan Melayu perlu dipertahan dan dipantau satu badan khas yang membolehkan setiap fahaman politik dirobohkan ketika mempertahankan kedaulatan bangsa. "Umno sebagai parti Melayu dan tunggak kepemimpinan kerajaan perlu melihat keperluan kaum lain ketika melaksanakan sesuatu.

"Ini masanya untuk Melayu mengambil tindakan menubuhkan badan pendesak kerana jika kita lewat dan leka, mungkin anak cucu kita akan mengutuk kita pada masa depan," katanya. Sehubungan itu, katanya, Pemenang mengesyorkan kepada kongres supaya satu majlis yang dinamakan Majlis Permuafakatan Hal Ehwal Orang Melayu (Maphom) ditubuhkan di Johor. Katanya, penubuhan majlis itu di Johor adalah signifikan kepada kebangkitan bangsa Melayu kerana Umno ditubuhkan di negeri ini pada 1946 oleh Datuk Onn Jaafar bagi menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

"Apa yang dihadapi orang Melayu sekarang ialah `tercabar' dari segi kedaulatan, agama, budaya dan kesenian. "Dengan ada majlis ini, ia boleh bertindak sebagai badan pemantau hak bangsa Melayu supaya tidak ada yang berani mempertikaikannya," katanya.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Nasional/20080504005345/Article/

No comments: