Monday, April 28, 2008

Kesetiaan Siapa Yang Rapuh? Calon BN Raih Undi Pembangkang Di Dewan Rakyat

Oleh Adnil Mohd:

Kuala Lumpur -- Ternyata kesetiaan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sememangnya teguh sebaliknya apa yang berlaku di Dewan Rakyat hari ini menyerlahkan wajah dan kedudukan sebenar pakatan pembangkang. Isu lompat parti yang begitu kuat dicanangkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini rupa-rupanya menggambarkan hakikat kegusaran beliau sendiri berkenaan kesetiaan ahli-ahli pakatannya.

Mana tidaknya, proses awal mengukur sokongan melalui pemilihan Timbalan Speaker Dewan Rakyat memperlihatkan calon yang dicadangkan oleh BN bukan sahaja menang tetapi memperolehi undi daripada wakil rakyat pembangkang. Mengulas perkara itu, Ahli Parlimen Muar yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor, YB Razali Ibrahim berkata keputusan pemilihan tersebut memberi petunjuk bahawa pakatan pembangkanglah yang sebenar berdepan dengan masalah. Sebab itulah katanya Anwar sejurus keputusan pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini pantas mengeluarkan dakwaan kononnya terdapat Ahli Parlimen BN akan menyeberangi Pakatan Rakyat yang diterajui beliau.
"Kita dalam BN tidak bersandarkan kenyataan serta politik retorik semata-mata tetapi dizahirkan apabila tiba masanya. Hari ini merupakan bukti bahawa ketaatan serta kesetiaan Ahli Parlimen BN tidak berbelah bagi.

"Nampaknya Anwar terpaksa mencari alasan lain lagi semata-mata untuk mengukuhkan dakwaan beliau sebelum ini sungguh pun hakikat sebenar yang berlaku di dalam pakatan pembangkang mula terserlah", katanya.

Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda sebagai mengulas pemilihan Timbalan Speaker Dewan Rakyat pagi tadi yang menyaksikan calon BN, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (BN-Santubong) memperoleh 157 undi, manakala calon BN yang kedua, anggota Parlimen Beluran (Sabah) Datuk Ronald Kiandee Ronald memperoleh 140 undi. Sementara itu, calon yang dikemukakan oleh pembangkang, anggota Parlimen Kepong, Dr Tan Sen Giaw gagal mendapat undi "solid" setelah mendapat 81 undi sedangkan wakil rakyat pembangkang berjumlah 82 orang.

Plihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lepas menyaksikan BN memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan apabila memenangi 140 kerusi manakala pembangkang mendapat 82 kerusi iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebanyak 31 kerusi, DAP (28) dan PAS (23). Tegas Razali lagi, Anwar sebenarnya bermain dengan "puisi" politik untuk menimbulkan keresahan di kalangan rakyat khususnya penyokong UMNO semata-mata.
"Kita cukup kenal dengan Anwar dan tahu siapa Anwar yang sebenarnya. Sebab itulah kita tidak terkejut dengan apa yang berlaku hari ini sebaliknya merupakan satu hikmah untuk dinilai oleh rakyat", ujarnya.

No comments: