Beliau berkata, apa yang pasti kerajaan Selangor yang kini dipimpin oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas gagal menunaikan salah satu janji mereka seperti mana yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu. ''Kita sudah jangka apabila sampai pada masanya mereka akan menghadapi kesukaran untuk menunaikan semua janji pilihan raya. Pada waktu pilihan raya sesiapa pun boleh membuat janji tetapi untuk menunaikannya bukan satu perkara mudah.
''Kemungkinan pengundi-pengundi termakan dengan janji-janji yang mereka buat. Sebut sahaja turun cukai sudah tentu akan ada pihak yang termakan dengan janji-janji ini tanpa memikirkan sama ada ia boleh ditunaikan atau sebaliknya,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Pekerja dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008 Kementerian Pertahanan di sini hari ini. Akhbar hari ini melaporkan kerajaan Selangor tidak akan menurunkan cukai taksiran sebanyak 20 peratus seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum 8 Mac lalu. Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat kerana keadaan ekonomi Selangor ketika ini masih belum mencapai tahap yang memuaskan bagi membolehkan janji tersebut dilaksanakan.
Selain itu, Abdul Khalid bimbang langkah menurunkan cukai taksiran akan menambah beban kerajaan negeri dan mengurangkan hasil. Najib berkata, sebelum memilih kerajaan pada setiap kali pilihan raya umum, rakyat harus mempunyai kemampuan untuk membuat satu penilaian yang wajar terhadap semua parti yang bertanding. ''Saya harap semua orang sedar tentang perkara ini. Apa yang penting bukan setakat membuat janji tetapi apakah janji ini mampu ditunaikan. ''Rakyat harus tahu membeza antara janji dan realiti. Adakah sesuatu yang dijanji itu hanya semata-mata sebagai percakapan politik yang akhirnya tidak dapat ditunaikan,'' katanya.
'Tidak baiklah macam ini' - Khir
SHAH ALAM 6 Mei - Keputusan kerajaan negeri tidak menurunkan cukai taksiran sebanyak 20 peratus seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum 8 Mac lalu merupakan pembohongan pertama yang dilakukan kepada rakyat Selangor. Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, selepas ini rakyat Selangor pasti akan te- rus menerima pembohongan demi pembohongan daripada kerajaan negeri yang tidak menepati janji.
Sehubungan itu, Mohamad Khir yang juga Ketua Pembangkang Selangor berharap agar Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memikirkan semula bagaimana untuk memenuhi janji-janji yang dibuat oleh kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas semasa mahu memenangi undi pilihan raya. ''Tak baiklah macam ini... Semasa nak dapat kuasa janji macam-macam... Bila dah dapat tak ditunaikan... Macam dah habis madu sepah dibuang," kata Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang itu ketika dihubungi di sini. Semalam Abdul Khalid mengumumkan yang kerajaan negeri tidak akan menurunkan cukai taksiran sebanyak 20 peratus kepada rakyat Selangor seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Kata Abdul Khalid, keputusan itu dibuat kerana keadaan ekonomi Selangor ketika ini masih belum mencapai tahap memuaskan bagi membolehkan janji itu dilaksanakan selain bimbang ia akan menambah beban dan mengurangkan hasil kerajaan negeri. Sementara itu, Naib Presiden Gerakan Selangor, Datuk Dr. Lim Thuang Seng pula berkata, kerajaan negeri yang baru kini dalam proses menghadapi realiti sebagai pemerintah dan mula memahami bukan mudah untuk menunaikan janji-janji yang dibuat.
Beliau berkata, jika dulu mereka berjanji macam-macam seperti mahu turunkan cukai taksiran dan harga minyak kini mereka secara tidak sedar menjadikan kesemua itu hanya gimik politik mereka sendiri. "Bukan mudah nak menunaikan janji bila dah alami keadaan sebenar sebab itu dulu kerajaan Barisan Nasional (BN) tak buat janji macam mereka,'' jelas beliau
No comments:
Post a Comment