Saturday, March 15, 2008

Pas akui DEB berjaya

SHAH ALAM 14 Mac - Pas mengakui pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh kerajaan sejak 1971 berjaya memastikan ekuiti orang Melayu khususnya dalam bidang ekonomi tidak dipinggirkan. Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali berkata, beliau tidak menafikan pelbagai program yang diperkenalkan menerusi DEB telah menunjukkan hasil yang positif. Sehubungan itu, katanya, Pas tidak akan mengetepikan secara langsung pelaksanaan DEB kerana ia berjaya mencapai matlamatnya iaitu menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan.

"Saya pernah terlibat secara langsung dengan DEB sewaktu di Jabatan Perdana Menteri dulu, banyak yang bagus terutama programnya.
"Untuk mengetepikan langsung DEB, ia bukan pendirian Pas," katanya pada sidang akhbar di pejabat Pas Selangor di sini, hari ini. Kelmarin, Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru, Lim Guan Eng menyatakan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan DAP tidak akan mengamalkan DEB. Ekoran tindakan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi amaran kepada Guan Eng supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh memarakkan ketegangan kaum.

Bagaimanapun, jelas Hassan, Pas Selangor akan menokok tambah prinsip DEB dengan konsep 'Menuju Negara Berkebajikan' yang menjadi inti pati manifesto Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-12. Beliau memberi jaminan hasil konsep tersebut akan dapat dilihat oleh rakyat dalam tempoh 100 hari pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang baru di bawah kerajaan campuran PKR, DAP dan Pas.

Di KUALA LUMPUR; Dewan Pemuda Pas Pusat menyokong pendirian kepimpinan tertinggi parti itu yang mahukan dasar-dasar nasional termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) dikekalkan.
Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya mengakui DEB memang memberikan manfaat besar dalam merapatkan jurang kaya dan miskin antara kaum di negara ini.

"Kita berdiri teguh dengan pendirian Pas yang mahukan dasar ini dikekalkan tetapi ia tidak bermakna kita menyokong amalan korupsi, kronisme dan nepotisme dalam pelaksanaan DEB," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada Selasa lalu, yang mahu 'membebaskan' pentadbiran negeri itu daripada pelaksanaan amalan DEB kerana ia menjadi punca kronisme, rasuah dan tidak efisien. DEB adalah dasar yang dimulakan pada 1971 dan pada prinsipnya telah berakhir pada 1991.

No comments: